Perenggan #4 Hakikat Cinta Sejati dan Keindahan Batin

Kepada pendengaranku telah sampai satu cerita yang biasanya diedarkan di kalangan para ahli tasawwuf peri seorang gadis perawan yang indah rupawan yang seringkali menunjukkan paras rupanya di jendela tempat kediamannya. Terlalu amat mashhur kecantikannya itu sehingga ramai orang dari merata negeri datang berduyun menziarahinya dan jatuh cinta kepadanya—tercengang berzikir merenungkan wajahnya jelita serta ta'jub terpesona olehnya. 

Kawasan tempat kediaman gadis itu menjadi seumpama pasar, riuh redam dengan manusia, yang hanya senyap apabila gadis itu keluar menunjukkan dirinya yang suci murni itu di jendela. Lama-kelamaan maka orang-orang itu pun sedikit demi sedikit menyingkir pulang meninggalkan tempat itu hingga tinggal lagi seorang-dua sahaja di situ; dan pasar yang ria ramai itu kini telah menjadi sunyi senyap seumpama tempat perkuburan.

'Mengapa', tanya seorang gharib yang menanya, 'kau tinggalkan tempat ini, sedangkan dahulu asyik kau berduyun memuja di sini?'

Maka sahut yang menjawab: 'Gadis rupawan yang dahulu bersemayam berdaulat di singgahsana kalbu kini telah hilang kecantikannya; wajah laksana bulan purnama telah kini susut; jelingan mata jelita laksana panah menikam hati sanubari kini telah lenyap sinarannya, dan rupa yang indah permai peri bidadari itu, yang menggetarkan tulang-sendinya yang menatapinya telah kini kecut layu laksana mawar mengecup debu'.

Lantas seraya berkata demikian maka yang menjawab itu pun berangkatlah pulang.

Wahai saudaraku Muslimin!—ingatilah baik-baik tauladan cerita ini: kaulah rupa zahir Islam, dan jikalau tiada kau jaga baik dirimu, tiada kau asah halus dan bersih kaca kalbumu nescaya layak menangkap dan menyayangkan cahaya sinaran suria batinmu, sehingga dapat mengobarkan api cintakan Islam di dada saudara-saudaramu, maka banyak yang jahil di kalanganmu nanti, yang hanya terpesona oleh kulit luar belaka seperti orang-orang ramai dalam cerita tadi, akan meninggalkan agamamu, akan mengejek-ejek tingkah lakumu beragamakan agama yang dilihatnya seolah-olah sudah 'layu', sudah 'lenyap sinarannya', sudah 'kecut' dan tiada lagi layak bagi menjadi pedoman hidup zaman serba baru ini.

Cinta sejati adalah suatu perkara yang merujuk kepada hakikat batin. Meskipun pada mulanya ia bernisbah kepada kenyataan zahir, namun demikian, kesedaran akan pengenalan cinta sejati hanya akan timbul tampak pada nazar keinsafan diri apabila hakikat batin itu telah dikenali. Sia-sialah berlagak menda'wa diri cinta sejati sekiranya cinta itu ditumpukan kepada rupa jasmani belaka.

Ibarat cintawan handal yang jatuh cinta kepada gadis juwita—menakjubkan sangat cintanya sedemikian laku hingga menanam membenih gigih dalam renungan para penyair, kemudian harum mengembang dalam khayalan menjelmakan irama-kata aneka-rupa indah belaka cerita cinta bagi tauladan manusia semua. Cintawan handal tekun berbakti kepada kasih-sayangnya mengikat diri pada perjanjian murni teguh berjanji hidup bersama dalam suka dan duka demi mengamalkan cintanya sejati itu.

Menjelang kian tahun lamanya, pada suatu hari sewaktu sedang duduk damai ditemani buah hatinya berkata dia:

'Mengapakah kini baharu kulihat tampak cacat bintik pada matamu, padahal dahulu aku hanya sedar akan rupamu indah tiada bertara!'


Maka sahut kekasihnya:

'Bintik di mataku sedia ada sedari dahulu, akan tetapi waktu cintamu berapi berkobar meluap nafsu tiada terlihat olehmu bintik di situ. Cacat di mataku ini mulai tampak pada penglihatanmu pada saat cintamu mulai mendingin; ketika cintamu mulai bercacat—ketika itulah mataku bercacat padamu.'


Dan demikian jugalah halnya dengan orang-orang yang tiada mengenali hakikat batin, dan yang hanya terpesona oleh kenyataan zahir; yang cintanya bercacat sebab mendingin kerana melihat cacat zahiri yang memang sewajibnya ada pada segala yang zahir fani—mereka akan berkata, mengejek orang yang beriman, seperti berkata orang-orang jahil tiada beriman yang disebut di dalam kitab Suci Al-Qur'anu'l-Karim (Surah al-Baqarah: Ayat 13);

آَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ

"Apakah harus kita ini percaya seperti orang bodoh percaya?"


Akan tetapi kita harus jawab, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala membalas jawab dalam tempat yang sama:

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِنْ لَا يَعْلَمُونَ

"Sekali-kali tiada, sesungguhnya merekalah yang jahil, akan tetapi tiada mereka ketahui."

Kau harus menginsafkan dirimu akan hakikat bahawa Islam itu tiada 'layu', tiada 'lenyap sinarannya', tiada 'kecut', dan tiada hapus kelayakannya bagi menjadi pedoman hidupmu dan seluruh manusia untuk zaman apa pun; padahal yang tampak layu dan kelam dan lemah itu ialah Kaummu Muslimin jua, kerana kaulah yang sudah jahil dan zalim terhadap diri sendiri. Nanti pada tempatnya yang wajar akan kuhuraikan lebih lanjut sebab-sebab yang menimbulkan kelemahan dan kejahilan dan kezalimanmu terhadap diri sendiri ini. Kini kau harus turutku meninjau dahulu latarbelakang sejarah dan peribadi agamamu dari segi perbandingan dengan agama-agama lain, khususnya dengan seterumu di dunia. Tiada masalah yang tiada ditimbulkan oleh sebab-sebab tertentu, dan bagi mengatasi sesuatu masalah haruslah kau mengetahui sebabnya dahulu, kerana mengetahui...


Sumber: Kitab Risalah untuk Kaum Muslimin karya Prof. Sayyid Naquib Al Atthos

Di Syarahkan oleh Ustadz Metsra Wirman, M. Phil pada Reading Sesion RUKM Perenggan #4 di Markas Ta'dib Sumatera Barat, Jalan Kalumbuak Kecamatan Kuranji Kota Padang


Komentar